HUTANG mesti dibayar, begitulah saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, pada Jumaat. Bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024. "Pertama, diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. "Kedua, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran, dan ketiga, diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual," katanya lagi. Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan tentang kebajikan pelajar universiti. "Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian. "Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan," ujarnya. Bermula Januari 2024, kata Anwar, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500. Jelasnya, ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak. "Pada masa sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. "Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar. "Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang mempunyai masalah pembayaran yuran," kata Anwar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube