KERAJAAN terus komited menangani isu kos sara hidup dan kenaikan harga barangan dengan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Bajet 2024, kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Katanya yang juga merupakan Menteri Kewangan, peruntukan STR meningkat sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion. "Pemberian STR akan memanfaat sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia. "Kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 manakala kadar minimum STR iaitu untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2024: Ini yang rakyat bakal terima daripada Kerajaan Perpaduan ARTIKEL BERKAITAN: Ramai orang muda bawah 40 tahun muflis, kerajaan perluas Dasar Peluang Kedua... Asalkan hutang tak lebih RM200,000 Tambah beliau, bayaran pertama STR untuk isi rumah yang sebelum ini maksimum RM300 akan dinaikkan kepada RM500 dan dijangka akan disalurkan sebelum Ramadan. Ujar Anwar lagi, kerajaan pada tahun ini memperkenal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200,000 penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan. Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk membeli keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad. "Mengambil kira maklum balas yang amat baik, kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700,000 penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan. "STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023," katanya dengan menambah permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. Jelasnya lagi, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube