suria

Asyik menipu fakta, hackers Malaysia godam laman web media Israel! Ganti berita sebenar guna bahasa Inggeris

Penggodam berjaya menggodam laman web. -Gambar hiasan / AFP Relaxnews

BUMI Palestin terus sengsara selepas 12 hari rejim Zionis melancarkan serangan udara berterusan di Semenanjung Gaza.

Namun hingga kini sebilangan masyarakat dunia seakan tidak memihak kepada rakyat Palestin sungguhpun pelbagai bukti tentang kekejaman tentera Israel didedahkan secara terbuka.

Lebih malang apabila banyak berita palsu dan berat sebelah dipaparkan dalam konflik Palestin-Israel sehingga memanipulasi masyarakat seluruh dunia.

Enggan berdiam diri, sebuah organisasi penggodam tempatan dikenali sebagai DragonForce Malaysia mendakwa berjaya menggodam laman media Israel yang didapati menyebarkan berita dan maklumat palsu.

Pendedahan tersebut dibuat menerusi laman X @DragonForceIO pada Rabu, di mana penggodaman itu bertujuan untuk menyebarkan maklumat sebenar.

“Kepada Zionis, kami berjaya menggodam laman web media terkenal anda. Kami akan menggunakan media anda untuk menyebarkan kebenaran tentang apa yang berlaku di Palestin.

“Kami tidak akan menggunakan kaedah yang sama kali ini. Kami akan mendedahkan penipuan propaganda anda satu demi satu,” tulisnya menerusi satu ciapan.

Pendedahan dibuat oleh DragonForce Malaysia.

Difahamkan, DragonForce Malaysia menggunakan tanda pagar (hashtag) #OpsBadai, #OpsTaufan dan #Israelcuak.

Malah, mereka turut memuat naik artikel terbaharu mengenai kisah benar tentang kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza di laman web berkenaan.

Menurut organisasi itu, mereka akan mendedahkan lebih banyak pembohongan Zionis.

“Kami memuat naik beberapa artikel baharu di Website Media Zionist. Teruskan share sehingga satu dunia tahu tentang kekejaman Israel yang sebenar!” katanya.

Pada masa sama, DragonForce Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan atau scammer berhubung aktiviti penggodaman.

“Admin nak tegaskan dekat sini bahawa DragonForce Malaysia yang sebenar tidak pernah dan tidak akan menawarkan sebarang servis penggodaman berbayar dan seangkatan dengannya,” ujar lagi.

Memuat naik artikel mengenai kisah benar tentang kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza di laman web berkenaan.

Dalam pada itu, ia memaklumkan akses di laman Facebook telah disekat dan sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi platform Telegram, X, Instagram dan TikTok, termasuk forum rasmi DragonForce Malaysia.

“Mereka (pihak Zionis) boleh menyekat dan mengubah sebanyak mana informasi di media massa, tetapi mereka lupa, mereka sesekali tidak akan dapat menyekat semangat dan perjuangan kita.

“Teruskan berjuang dengan apa cara sekalipun. Doa, suara dan penyatuan kita menjadi senjata. Nak sekat, nak spin cerita, silakan. Tiada masalah. Penentangan adalah sia-sia,” katanya.

DragonForce Malaysia menyeru supaya masyarakat turut sama membantu dalam apa cara yang boleh dilakukan.

“Perang mereka sepatutnya menjadi perang kita juga. Jihad mereka sepatutnya menjadi Jihad kita juga, tapi apa yang kita pilih? Berdiam ketika setiap saat ada nyawa yang tidak berdosa gugur di sana?

“Malah mereka yang membantu dan berjuang bersama-sama dengan kudrat yang ada dikecam dan dihina pula. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

“Moga menjadi asbab untuk kita menjawab persoalan Tuhan di hari kemudian. Jika masih rasa selesa dengan kedudukan di dunia, tepuklah dada tanyalah iman. Moga semua dirahmati,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain