suria

Ramai takut masuk kem, rupanya hanya remaja lahir 2007 kena sertai PLKN 3.0

Pemilihan pelatih PLKN 3.0 dibuat mengikut tahun kelahiran mereka. -Gambar hiasan

KETIKA banyak pihak melahirkan kegusaran tentang Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0), Kementerian Pertahanan Malaysia berkata pelatihnya akan dipilih mengikut tahun kelahiran.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, kementerian itu berkata pelaksanaan semula program berkenaan dibuat selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

"Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.

"Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut," ujar kenyataan itu.

Tambah kementerian itu lagi, mereka yang tidak dapat menyertai PLKN 3.0 boleh memohon penangguhan dan had untuk bergelar pelatih adalah sehingga usia 35 tahun.

"Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: PLKN dihidupkan semula, bakal dilaksanakan di kem tentera

"Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan in dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0," ujar kenyataan itu.

Sejak beberapa hari lalu, media sosial kecoh apabila orang ramai menzahirkan rasa bimbang sekiranya mereka perlu menyertai PLKN 3.0 meskipun sudah melepasi usia remaja.

Ia berikutan penularan laporan awal yang menyatakan belia berusia sehingga 35 tahun perlu menyertai program itu.

Untuk rekod, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 9 Oktober lalu mengumumkan PLKN yang dihidupkan semula akan menyaksikan belia menjalani latihan asas tentera selama 45 hari.

PLKN dihentikan pada 2015 dan diperkenalkan semula pada tahun berikutnya dengan penyertaan akan dijadikan pilihan menjelang 2019.

Walau bagaimanapun, ia telah dibatalkan pada Ogos 2018.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain