suria

Syed Saddiq lepas jawatan Presiden Muda, kekal galas mandat MP Muar

Syed Saddiq melepaskan jawatan Presiden MUDA serta merta. -RAJA FAISAL HISHAN/The Star

SUSULAN didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan jawatan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), serta-merta.

Menerusi satu kenyataan media pada Khamis, beliau turut mengumumkan jawatan tersebut akan dipangku oleh Timbalannya, Amira Aisya Abd Aziz.

"Berikutan dengan keputusan mahkamah pada hari ini, saya ingin mengumumkan untuk mengosongkan jawatan Presiden Parti Muda sementara saya membersihkan nama di peringkat Mahkamah Rayuan.

"Dengan keputusan yang dibuat, saya tidak akan terlibat dalam apa-apa perbincangan membuat keputusan dalam parti sementara saya membersihkan nama dalam proses mahkamah.

"Walaupun begitu, saya akan terus menggalas mandat rakyat sebagai Ahli Parlimen tunggal bagi parti Muda," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar.

Walaupun melepaskan kerusi Presiden, Syed Saddiq menegaskan beliau tetap akan terus menggalas tugas sebagai ahli MUDA.

"Saya berharap di bawah pimpinan baru, parti Muda akan lebih maju ke hadapan dan terus lantang memperjuangkan suara rakyat," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Didapati bersalah atas empat pertuduhan... Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta

Terdahulu, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan RM10 juta denda dan dua kali sebatan selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid pada Khamis berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan, masing-masing satu pertuduhan bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain