suria

9 tahun di Malaysia, pemuda rayu bantuan PM nak balik Gaza! Dah 10 hari keluarga sepi tanpa berita, rela mati syahid

Yousuf memohon bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Gaza.

HAMPIR 10 hari tidak mendapat apa-apa khabar berita mengenai keluarganya, seorang pemuda Palestin nekad mahu pulang ke kampung halamannya di Gaza, Palestin.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, pemuda bernama Yousuf atau lebih dikenali sebagai Yousuf Anak Palestine di akaunnya, membuat rayuan memohon bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Assalamualaikum WBT. Nama saya Yousuf. Saya orang Gaza, Palestin. Saya nak minta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tolong saya. Saya nak balik Palestin.

"Saya nak minta tolong daripada anda (perdana menteri). Saya nak satu surat, untuk saya boleh masuk dari border (sempadan) Rafah.

"Saya nak masuk Gaza sebab dua orang ahli keluarga saya dah meninggal dunia syahid dan saya tak dapat contact keluarga saya dah sembilan hari (semalam)," katanya di dalam video tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvoi kemanusiaan diserang di Gaza, 5 trak bawa bekalan ubat hospital jadi sasaran

Yousuf, 28, yang menetap dan mencari rezeki di Malaysia sejak sembilan tahun lalu menambah, dua ahli keluarganya yang terkorban akibat serangan tentera Zionis adalah adiknya yang berusia 18 tahun dan abang iparnya.

Berita duka tersebut diketahuinya sebelum keadaan di Gaza kian meruncing sehingga jaringan telekomunikasi kini terputus.

Manakala nasib ahli keluarganya yang lain masih tidak dapat dipastikan memandangkan mereka sudah tidak dapat dihubungi sejak 10 hari lalu.

Menurut Yousuf, rumah keluarganya di kawasan al-Zeitoun, Gaza juga sudah hancur musnah akibat bedilan Israel.

"Kalau anda (perdana menteri) boleh tolong saya, beritahu saya. Terima kasih Malaysia. Kita bersaudara," katanya lagi di dalam video tersebut.

"Keluarga saya dua orang syahid. Saya nak ikut keluarga saya... amin. Allah will ptotect me. (Allah akan lindungi saya)," tambahnya dalam ruangan komen.

Sementara itu, rata-rata warga maya turut mendoakan keluarga pemuda berkenaan dan membuat pautan (tag) kepada akaun Instagram rasmi perdana menteri.

Sehingga kini angka kematian rakyat palestin akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 11,180 sejak konflik bermula pada 7 Oktober.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain