POLIS sedang menyiasat bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff atas dakwaan gangguan seksual. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan itu dimulakan susulan laporan yang dibuat oleh penolong pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani pada Khamis. "Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa kejadian berlaku di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak pada 21 Oktober lepas. "Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan," katanya memetik Sinar Harian. Beliau berkata polis akan memanggil beberapa individu untuk direkodkan keterangan mereka. Pada Khamis (30 November), Abdul Wahab tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan berkata ia adalah bagi membersihkan namanya yang terpalit dalam isu penyebaran video perbualan lucah melibatkan dirinya. ARTIKEL BERKAITAN: Agus diperangkap! Wahab dakwa ‘Mr H’ dalang video sembang lucah, sengaja kait aktiviti songsang Bercakap kepada akhbar selepas membuat laporan, Abdul Wahab mengakui dirinya tertekan dan trauma selepas apa yang berlaku membabitkannya dengan Mohammad Agus. Abdul Wahab juga berkata dia tidak pasti dengan status jawatannya di jabatan tersebut. Terdahulu, sebuah video yang menggambarkan Mohammad Agus kononnya melakukan perbualan tidak senonoh dengan seseorang dikenali sebagai 'Wahab' menjadi viral. Mohammad Agus mendakwa bahawa video itu direka untuk mensabotaj reputasinya, dan orang yang bertanggungjawab adalah individu berpangkat tinggi yang dikenali "Encik H". Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube