suria

Bapa Zayn Rayyan pengsan terima khabar duka kematian anak, netizen zahir rasa hiba - “Bermainlah kamu di taman syurga”

Bapa Zayn Rayyan pengsan sejurus menerima khabar duka kematian kanak-kanak autisme itu.

HARAPAN Zaim Ikhwan untuk dipertemukan semula dengan anak istimewanya, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang hilang sejak Selasa tengah hari akhirnya 'tercapai' pada Rabu malam.

Namun, sudah tertulis takdir kanak-kanak austisme itu ditemukan tidak bernyawa di sebatang anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Khabar duka penemuan mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu menyebabkan bapanya Zaim Ikhwan, 28, pengsan sebelum dia dan isterinya ditenangkan oleh ahli keluarga serta jiran tetangga.

Menerusi video yang dikongsi, kawasan parkir Apartment Idaman dipenuhi kira-kira 100 orang yang turut berduka dengan pemergian kanak-kanak itu.

Malah, suara tangisan serta laungan Allahuakhbar turut bergema, menzahirkan emosi keluarga serta jiran tetangga yang masih terkejut akan kematian Zayn Rayyan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak autisme Zayn Rayyan meninggal dunia, ditemukan terbaring di anak sungai

Terdahulu, mStar melaporkan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan yang hilang sejak Selasa tengah hari ditemukan meninggal dunia di sebuah anak sungai pada pukul 10 malam Rabu.

Penemuan mayat kanak-kanak itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudid Abdul Hamid yang berada di lokasi kejadian.

Sebelum itu, mStar melaporkan mangsa hilang sejak Selasa dan kali terakhir dilihat di alamat Blok R, Apartment Idaman Jalan PJU 10/1 Damansara Damai pada pukul 12 tengah hari.

Operasi mencari mangsa di sekitar kawasan kediamannya digerakkan oleh penduduk setempat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Di Instagram mStar, ramai netizen turut menzahirkan rasa simpati susulan berita penemuan mayat kanak-kanak itu.

"Sedihnya berita ni. Dari semalam menunggu. Bermainlah kamu di taman syurga.

"Ya Allah besarnya ujian keluarga ini. Semoga tabah dan kuat.

"Al-Fatihah. Semoga adik Zayn tenang di sana. Anak syurga," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain