suria

Padah letak harga mahal, KPDN serbu kedai ikan bakar di Pulau Pangkor

Ikan bakar merupakan menu popular di Malaysia. -Gambar hiasan

KEMENTERIAN Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai makanan laut di Teluk Nipah, Pulau Pangkor pada Ahad kerana didakwa mengenakan bayaran berlebihan kepada pelanggannya.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata restoran tersebut serta beberapa premis lain di Teluk Nipah didapati tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual.

"Restoran itu juga tidak menggunakan mesin penimbang dan hanya meletakkan tanda harga ketika pegawai beruniform kami datang membuat pemeriksaan pada Ahad.

"Semakan dan perbandingan harga makanan di premis itu juga mendapati ia lebih tinggi berbanding kedai makan lain di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Pengusaha itu dipercayai turut melanggar Seksyen 140(3)(a)(b) Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu gagal meletakkan butiran nama dan alamat perniagaan serta tarikh pembelian dalam resit yang dikeluarkan kepada pengguna.

"Jika sabit kesalahan, premis berkenaan boleh didenda sehingga RM100,000 manakala pengendali boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelancong P.Pangkor kecewa! Kerusi berkulat, harga ikan bakar macam di KLCC... Terjawab kenapa ada yang tak travel lokal

"Premis ini diberikan satu Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) dan Notis Bertulis (NB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 dan perlu mengemukakan maklumat berkaitan produknya kepada jabatan negeri dalam tempoh lima hari bekerja," katanya.

Kamalludin berkata pihaknya telah menjalankan operasi di kawasan itu bersama polis dan Majlis Perbandaran Manjung susulan aduan yang dimuat naik di TikTok oleh seorang pelanggan.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab peniaga mengambil kesempatan ke atas pelancong akan memberi imej buruk dan memberi kesan kepada industri pelancongan di Perak. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain