suria

Tiga ditahan polis, larikan pelajar Tingkatan 5 di hadapan sekolah

Melarikan remaja bawah umur merupakan satu jenayah. -Gambar hiasan

DUA lelaki dan seorang wanita ditahan atas tuduhan melarikan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Gombak, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada pukul 10.36 pagi.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati wanita itu telah dimaklumkan oleh guru berhubung kejadian tersebut.

"Pelajar Tingkatan Lima itu dilarikan oleh seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan dengan menggunakan sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Ariffin, pihaknya menahan tiga individu berusia 20 hingga 22 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Toyota warna putih dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Kesemua suspek kini direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Yap Ching Chua di talian 019-9969649 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain