suria

Sentuh alat sulit anak saudara, beri amaran supaya jangan bising... Polis tahan lelaki berumur 57 tahun

Suspek ditahan sehari selepas dia didakwa mencabul anak saudaranya di sebuah kediaman di Tawau.

SEORANG lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dia didakwa mencabul anak saudaranya yang berusia 20 tahun di daerah Tawau, Sabah.

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bertanda di Kampung Sri Bombalai Laut, Sungai Imam, kira-kira pukul 9 malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian didakwa berlaku ketika mangsa berada di dalam biliknya kira-kira pukul 11 malam Isnin.

Katanya, suspek memasuki bilik wanita itu dan memberi amaran kepadanya supaya tidak membuat sebarang bunyi sebelum terus menyentuh bahagian sulitnya.

Mangsa kemudian menjerit, menyebabkan suspek bergegas keluar daripada biliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengawal keselamatan rogol dua anak tiri, ambil kesempatan ketika isteri keluar urus gerai burger

Tambahnya, wanita itu membuat laporan pada pukul 4.08 petang Selasa.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis mengesan lelaki itu dan menemuinya di rumah tidak bernombor di kampung itu.

"Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dengan niat untuk mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.

Suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain