suria

‘Abang blazer merah’ mengaku salah lanyak rider penghantar barang, didenda RM2,000

Lelaki bertindak kasar terhadap rider dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret KL.

INDIVIDU digelar 'abang blazer merah' yang terlibat dalam insiden mencederakan seorang rider penghantar barang dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Majistret, Illi Marisqa Khalizan, menjatuhi denda itu terhadap Muhammad Nazrul Hairie Harmi, 28,selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah mencederakan rider berumur 24 tahun iaitu Muhammad Samier Ibruhem.

Terdahulu, dalam kejadian di Lobi Menara IQ, Kuala Lumpur, tertuduh yang bekerja sebagai kerani dilihat bergelut dengan rider terbabit dipercayai kerana salah faham berkaitan akses untuk memasuki premis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengawal keselamatan lanyak rider cukup-cukup, pelanggan wanita rayu henti bergaduh - “Lepaskan... dia kecil je kot!”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lanyak rider dalam video viral buat laporan polis, bimbang kerjaya terjejas! Dakwa insiden tak dirakam penuh

Insiden berlaku pada pukul 3.59 petang, 2 November lalu dan Muhammad Nazrul didakwa menyebabkan kecederaan dengan menggunakan kaki dan tangannya.

Muhammad Nazrul, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda dan Muhammad Nazrul bersetuju untuk membayar denda itu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS.

Manakala peguam Rhastdan Abdul Wahab memohon denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain penanggung utama keluarga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain