suria

Zayn Rayyan: Siasatan hampir 90 peratus, ada potensi tangkapan dibuat

Razarudin memaklumkan perkembangan kes bunuh Zayn Rayyan dalam satu sidang media pada Selasa.

KES pembunuhan misteri kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sudah melepasi 90 peratus siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata pihak polis akan memulakan tangkapan berdasarkan risikan serta maklumat yang diterima menerusi siasatan konvensional dan saintifik yang dijalankan sebelum ini.

“Saya nak bagitau di sini berkenaan (kes) adik Zayn Rayyan segala usaha daripada konvensional siasatan daripada saintifik, forensik.

“Sekurang-kurangnya dah hampir 90 peratus kita dah lakukan secara bersungguh-sungguh sejak kejadian 6 Disember sehingga malam ini ada mesyuarat dibuat bersama Polis Selangor.

“Walaupun kita melihat data-data laporan forensik belum terima, sebab itu saya cakap melebihi 90 peratus, tapi kita melihat bahawa mungkin siasatan forensik kita itu juga berkesudahan secara negatif.

“Jadi saya dah berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Suhaily, kita sekarang ini ke arah mengumpulkan risikan-risikan untuk kita memulakan tangkapan ke atas suspek-suspek yang kita agak mempunyai lebih 50 peratus keterangan yang berdekatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh Zayn Rayyan bukan ‘straight forward’, polis dapatkan bantuan Interpol

Razarudin juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula ahli keluarga dan saksi kejadian untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, motif sebenar pembunuhan terhadap Allahyarham Zayn Rayyan masih dalam siasatan polis.

“Siasatan kes bunuh banyak, sebenarnya kita perlu melihat kepada motif, apakah motif. (Jika) kes bunuh motif pasal dadah, kita tahu. Kalau motif cemburu, kita tahu siapa nak cari.

“Kalau pergaduhan kita tahu siapa nak cari. Tapi setakat ini motif ini sangat penting, kalau kita lihat Allahyarham Zayn Rayyan ini budak 6 tahun cuma dia Autisme dan kita tak tahu apa motif untuk dia dibunuh sedangkan dia kanak-kanak Autisme,”katanya lagi.

Mayat Zayn Rayyan berumur enam tahun ditemukan di sebatang anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya dalam kejadian 5 Disember di Damansara Damai, Selangor.

Pihak polis mengklasifikasikan kes Zayn Rayyan sebagai kes bunuh susulan laporan bedah siasat ke atas jasadnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain