suria

Staf restoran cuci pinggan dalam tong sampah, saksi kongsi gambar tak mahu loya tekak seorang diri - “Oh, untuk rendam saja”

Jijik cara pekerja sebuah kedai makan membasuh pinggan dalam tong sampah.

KEBERSIHAN merupakan sebahagian daripada iman.

Gempar video di laman X memaparkan seorang pekerja restoran mencelup pinggan, cawan dan sudu ke dalam tong sampah berwarna hijau yang diisi dengan air.

Individu lelaki yang membuat pendedahan itu berkata dia berasa kembang tekak apabila melihat teknik mencuci pinggan mangkuk seperti itu.

Difahamkan restoran tersebut terletak di Bandar Botanik, Klang, Selangor.

"Kita ni dah la selalu lepak kedai mamak, sekali nampak benda macam ni depan mata terus rasa nak muntah. Tergamam aku, tak mampu untuk berkata-kata.

"Kedai ni basuh pinggan dengan mencelup ke dalam tong sampah, ini aku bagi semua tengok sekali, tak ada la aku seorang je yang rasa loya," ujar lelaki berkenaan.

Lelaki terbabit kemudian bertindak menegur pekerja restoran terbabit, namun mendapat jawapan yang kurang memuaskan.

"Staf tu boleh cakap, oh tong sampah tu untuk rendam saja. Berderau darah aku, sekurang-kurangnya beli besen besar ke untuk rendam mangkuk semua tu.

"Siapa yang selalu makan situ tolong tengok-tengokkan, kalau masih sama, sila buat laporan terus kepada pihak berkuasa," katanya menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meminta agar ada tindakan segera daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"KKM, PBT, pihak berkuasa cepat turun pantau mana perlu. Kalau begitu cara basuh pinggang, memang kotor, ambil tindakan sita kedai terbabit.

"Rendam pinggan dan mangkuk ke dalam tong sampah untuk dihidang makan kepada pelanggan, sungguh jijik ya," kata beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain