suria

Ustaz maut dihempap trak pikap, tak sempat pantau peperiksaan SPM

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa dalam kemalangan di Jalan Jerangau.

SEORANG guru agama yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas pada pagi Isnin.

Ketika kejadian, mangsa Abd Rashid Mohd Nor, 48, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau dalam perjalanan ke SMK Padang Pulut untuk bertugas sebagai pengawas Ujian Bertulis Bahasa Melayu (UBBM).

Insiden berlaku di Kilometer 76, Jalan Jerangau ke Jabur yang berhampiran Pusat Koreksional Dungun dekat Bukit Besi di Terengganu.

Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Sharifuddin Ali, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.08 pagi sebelum 10 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi.

Kata Sharifuddin, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati mangsa yang memandu sendirian ditindih kenderaannya dan disahkan meninggal oleh anggota perubatan Klinik Kesihatan Bukit Besi.

"Kami mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan guru berkenaan sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain