suria

Tak kesampaian tengok view Bukit Ampang… Pasangan kekasih diperas ugut, dirogol penjawat awam beruniform

Suspek direman untuk siasatan lanjut. -Gambar hiasan

UMPAMA harapkan pagar, pagar makan padi.

Begitulah nasib sepasang kekasih yang diperas ugut oleh dua penjawat awam yang memakai uniform ketika berada di Bukit Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 10.09 malam, 9 Januari lalu.

Bukan itu sahaja, pelajar wanita terbabit turut dirogol oleh salah seorang suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa merupakan pelajar kolej swasta.

“Pengadu merupakan lelaki tempatan manakala kekasihnya bukan warganegara. Kedua-dua mereka telah ditahan oleh suspek dan dibawa ke tempat berasingan.

“Dalam kejadian tersebut, salah seorang suspek telah merogol pengadu perempuan manakala pengadu lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan daripada laporan yang dibuat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang telah melakukan tangkapan pada Rabu dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari.

“Dua kertas siasatan telah dibuka, satu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala satu lagi di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain