PERSEMBAHAN laser serta gemerlapan cahaya yang menghiasi Menara Merdeka 118 ketika majlis perasmiannya pada Rabu malam hangat menjadi bualan netizen di media sosial. Mercu tanda baharu Malaysia itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli. Selain persembahan cahaya yang menyinari langit ibu kota, audio laungan 'merdeka' oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj turut bergema di sekitar bangunan berketinggian 678.9 meter itu. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Orang awam juga tidak melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah itu dengan menyaksikan gimik perasmian di sekitar bangunan pencakar langit itu. Video semasa majlis perasmian Menara Merdeka 118 turut tular di media sosial sehingga meraih ratusan ribu tontonan. Menara Merdeka 118 memiliki ketinggian 678.9 meter. Selain memuji reka bentuknya, segelintir netizen turut berjenaka apabila mereka menyamakan limpahan cahaya di Menara Merdeka 118 seperti lampu di kedai-kedai tomyam. "The highest lampu kedai tomyam di Kuala Lumpur. "Kedai tomyam going international. "Kedai tomyam dah maju sekarang buka kat Kuala Lumpur. "The real kedai tomyam," tulis pengguna media sosial secara berseloroh. Namun, rata-rata netizen turut meluahkan rasa bangga dengan pembukaan menara itu yang kini menjadi salah satu kebanggaan Malaysia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube