DUA beradik kecundang kerana aktiviti vandalisme mencalarkan kereta rasmi milik Hakim Mahkamah Persekutuan. Menariknya, dalam kejadian di tepi jalan Taman Koperasi Polis Fasa Dua, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, salah seorang remaja yang berusia 15 tahun bertindak mencabut lambang ‘hakim’ pada kereta kerana sama dengan nama abangnya. Selain itu, lambang 'hakim' tersebut dikatakan mahu dijadikan sebagai hadiah hari lahir untuk si abang. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata pengadu memaklumkan kejadian pada pukul 8.50 malam selepas disedarinya apabila pulang dari menunaikan solat di masjid. “Susulan itu, sepasukan polis daripada Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul membuat serbuan di sebuah rumah di Batu Caves berdasarkan hasil risikan yang dijalankan. “Hasil serbuan berkenaan berjaya menahan dua remaja lelaki warga tempatan yang juga adik-beradik. "Kedua-dua tangkapan berusia 15 tahun dan merupakan pelajar sekolah tingkatan tiga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul pada Jumaat. Ahmad Sukarno berkata, siasatan mendapati remaja berkenaan mencuri lambang berkenaan kerana menyerupai nama abangnya dan dihadiahkan sempena hari lahir. “Siasatan mendapati adiknya yang lahir pada bulan Disember ingin memberi hadiah hari lahir abangnya yang lahir pada bulan Mac tahun yang sama kerana lambang berkenaan menyerupai nama abangnya. “Kedua-dua suspek yang ditangkap tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 kanun keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube