suria

Sekumpulan lelaki buat kacau depan kedai makan, bergaduh bawa rotan... Polis dapat cekup 5 suspek

Kekecohan berpunca daripada pergaduhan itu berlaku di hadapan sebuah restoran.

POLIS menahan lima lelaki warga tempatan yang terlibat dalam satu pergaduhan di depan sebuah restoran di sekitar Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, Johor.

Kejadian berlaku pada malam Isnin lalu.

Kesemua suspek diberkas dalam serbuan di empat lokasi berasingan pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pergaduhan sekumpulan lelaki itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

“Polis mengesahkan kejadian, yang mana laporan polis berhubung kejadian itu diterima pada pukul 2.27 petang Isnin.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan lima lelaki berusia 17 hingga 43 tahun. Turut dirampas, dua batang kayu rotan dan dua telefon bimbit.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara semua suspek hingga menyebabkan pergaduhan,” katanya pada Rabu.

Menurut Raub, semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga kes jenayah dan dadah.

Namun begitu, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.

“Semua suspek direman sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 39 saat memaparkan sekumpulan lelaki merusuh menggunakan kayu di depan sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain