SEORANG kanak-kanak perempuan dan ibunya maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting-Dengkil di Banting, Selangor pada Isnin. Mangsa yang maut berusia 10 tahun dan 40-an. Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.03 pagi. "Kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah lori melanggar empat buah kereta. Pelanggaran tersebut membuatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dihempap lori terbabit. "Dua mangsa di dalam kenderaan tersebut didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, seorang masih hidup serta seorang lagi tidak sedarkan diri. "Seorang lagi wanita berusia 20-an yang terlibat dalam kemalangan berkenaan mengalami kecederaan di kakinya dan telah dihantar ke Hospital Banting," katanya. Tambah Ahmad Mukhlis, kesemua mangsa terdiri daripada ahli keluarga yang sama. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube