SUSULAN penyebaran video seolah-olah pembabitan aktiviti tidak bermoral, Abdul Wahab Abdul Kader Jilani, menuntut ganti rugi RM5 juta serta permohonan maaf selama 30 hari berturut-turut daripada aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atas dakwaan memfitnah. Selaku plaintif, Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu memfailkan pernyataan tuntutan pada 22 Disember tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co. Ia susulan dakwaan bahawa defendan yang turut dikenali sebagai Chegubard menyiarkan video menerusi Facebook kononnya Abdul Wahab sedang berbual lucah dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff. Abdul Wahab berkata, hantaran pertama Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu menggambarkan dirinya menjalankan hubungan songsang dengan pegawai atasan, kakitangan kerajaan menyokong homoseksual, individu tidak bermoral, seorang yang suka berbual lucah dan bukan Muslim yang baik. Menerusi pernyataan tuntutan itu, Abdul Wahab mendakwa, perbuatan fitnah itu dilakukan di dua akaun rasmi Facebook dan saluran Telegram defendan. "Defendan sudah menceroboh privasi saya dengan menyebarkan video itu. Saya menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM5 juta dibayar oleh defendan kepada saya. "Permohonan maaf kepada saya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman dan seterusnya dalam tempoh 48 jam selepas menerima kembali draf permohonan maaf yang diluluskan menerbitkan selama 30 hari berturut-turut di beberapa akhbar tempatan secara bertulis," katanya. Menurutnya, defendan juga perlu memadam pernyataan fitnah itu daripada semua laman sesawang, platform media dan semua media sosial di bawah pengetahuan, kawalan atau jagaannya. Sebelum ini, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki. Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM serta mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab. Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu iaitu Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube