suria

Pelajar kolej swasta terjun kondo tingkat 16! Sanggup mati daripada dicekup polis

Lelaki itu ditemukan maut di tingkat dua kondominium berkenaan. -Gambar JBPM

PERCATURAN yang membawa padah!

Seorang lelaki Nigeria maut selepas dia terjun daripada tingkat 16 sebuah kondominium pada petang Ahad, dipercayai cuba melarikan diri ketika serbuan polis.

Mayat lelaki berusia 37 tahun yang juga pelajar di sebuah kolej swasta itu ditemukan di koridor tingkat dua kondominium di Batu Uban, Gelugor, Georgetown, Pulau Pinang.

Serbuan di kondominium itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Menurut Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, seorang lelaki membuka pintu rumah ketika serbuan itu, namun dia masuk semula dan terus mengunci pintu selepas menyedari kehadiran polis.

"Susulan itu, polis terpaksa memecahkan pintu sebelum menahan seorang lelaki warga Nigeria.

"Berikutan wajah individu yang membuka pintu dengan lelaki yang ditahan itu tidak sama, pasukan polis membuat pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan sebelum menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tingkat bawah," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Pelajar perempuan tingkatan 1 maut terjatuh dari bangunan sekolah

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya.

Dalam pada itu, bomba turut dipanggil untuk menurunkan mayat di koridor tingkat dua kondominium berkenaan dan operasi tamat pukul 9.31 malam.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain itu, polis turut menemukan seorang lagi suspek lelaki warga Nigeria di tingkat lapan kondominium berkenaan.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas sejumlah dadah jenis syabu dan pil ekstasi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain