SUDAH jatuh ditimpa tangga! Seorang remaja perempuan yang dibelasah teruk oleh bapanya dalam kejadian awal pagi Rabu turut mendedahkan kisah hitam pernah dirogol lelaki itu yang berusia 47 tahun. Mangsa berusia 17 tahun itu turut dipukul oleh bapanya yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membocorkan rahsia itu kepada teman wanita bapanya yang tinggal bersama di sebuah kediaman di Kampung Kendong Baru, Rembau, Negeri Sembilan. Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, pihaknya menerima laporan mangsa dirogol daripada pegawai perubatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah pada Rabu malam. “Mangsa kini mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas mengalami beberapa kesan kecederaan di bahagian bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir. “Mangsa juga telah memberitahu doktor yang merawatnya dia pernah dirogol bapanya pada 12 November tahun lalu. Pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan koyakan lama di bahagian himen pesakit,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis cedera parah, terima 12 jahitan di muka! Bapa hempuk, terajang guna meja seterika dan kerusi Tambah Hazri lagi, mangsa yang merupakan anak pertama dari empat adik-beradik, tinggal bersama neneknya di Rantau, Seremban sejak usia empat tahun setelah ibu dan bapanya bercerai dan tinggal bersama bapanya itu sejak Jun 2022. Menurutnya, pada November tahun lalu, suspek masuk ke bilik mangsa dan merogol mangsa serta memberi amaran kepada mangsa supaya tidak memberitahu perkara tersebut kepada sesiapa pun. “Kira-kira pukul 10.45 malam Selasa, telah berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek di mana suspek telah bertindak memukul mangsa menggunakan tangan serta beberapa alatan seperti kerusi plastik, bakul kain plastik dan meja seterika. “Dengan bantuan teman lelaki mangsa, pihak polis dihubungi dan suspek telah ditangkap. Sementara mangsa pula telah di bawa ke Hospital Tampin menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum dipindahkan ke HTAN,” katanya. Menurutnya, saksi kejadian iaitu teman wanita suspek telah tampil bagi membantu siasatan dan suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah serta direman empat hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan, Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan. Terdahulu, tular di media sosial video serangan menunjukkan suspek memukul anaknya ketika sedang mabuk. Mangsa ditendang oleh suspek di perut dan turut mengalami luka di muka menyebakan dia menerima 12 jahitan. Suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube