POLIS Melaka menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana memukul wanita warga emas susulan konflik yang tercetus mengenai pembakaran sampah terbuka di Tanjung Kling, Melaka. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata suspek ditahan di rumahnya pada tengah malam Ahad. Beliau berkata kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Menurut Christopher, kejadian berlaku pada pukul 1.20 tengah hari Ahad dan turut dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya tular di media sosial. Ketegangan bermula apabila mangsa berusia 76 tahun berdepan dengan jirannya yang mengendalikan tapak glamping bagi menegur mengenai rutin pembakaran sampah secara terbuka di kawasan itu. Tambahnya, mangsa turut memberitahu jirannya bahawa asap daripada pembakaran terbuka itu telah memasuki rumahnya dan menyebabkan masalah kesihatan kepadanya. “Pertikaman lidah tercetus antara kedua-duanya, akhirnya suspek yang merupakan cucu kepada seorang lagi jiran bertindak berulang kali menampar dan menumbuk wanita itu,” katanya pada Isnin. ACP Christopher berkata mangsa terjatuh ke tanah akibat pukulan itu dan mengalami kecederaan, selain suspek turut mengugut untuk memukulnya dengan objek tumpul semasa dia sedang tertiarap. Cucu mangsa membuat laporan polis pada hari sama. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube