TUN Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta. Bekas menteri kewangan berusia 85 tahun itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin. Mengikut kertas pertuduhan, Daim sengaja memberi kenyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, di mana beliau tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 13 Disember 2023. Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan. Jurubahasa mahkamah membaca senarai panjang aset yang disenaraikan dalam Lampiran A, ketika Daim duduk di kerusi rodanya di luar kandang tertuduh. Aset tersebut ialah satu akaun bank, tujuh kereta mewah, 38 syarikat dan 25 tanah serta hartanah yang terletak di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak. Daim ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Ketika ditanya jurubahasa mahkamah sekiranya beliau memahami pertuduhan itu, Daim menjawab: "Faham" (saya faham). Dia mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin. ARTIKEL BERKAITAN: Daim berkerusi roda ke mahkamah... Nampak tenang, sempat lambai tangan kepada media Malah beliau juga meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya Daim menyerahkan pasport dan melaporkan kehadirannya ke pejabat SPRM setiap bulan. Wan Shaharuddin turut meminta Daim tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu sehingga ia selesai. “Kami faham kebebasan bersuara tetapi ada hadnya apabila seseorang itu sudah didakwa di mahkamah,” katanya. Bagaimanapun peguam M. Puravalen yang mewakili Daim memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya adalah pesakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar. "Dia juga diserang jangkitan kuman di matanya yang menyebabkan sebelah mata dibuang," kata Puravalen. Menerusi hujahannya lagi, dia berkata Daim yang berkerusi roda tidak bergerak dan "tidak pergi ke mana-mana", justeru dua syarat jaminan lain serta komen pihak pendakwaan mengenai mengeluarkan kenyataan adalah tidak perlu. Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM280,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan sebarang syarat jaminan tambahan selepas mempertimbangkan keadaan Daim. "Mengenai isu mengulas tentang kes, saya faham. Saya rasa semua pihak sudah cukup matang. Kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan saya minta kedua-dua pihak tidak memberi ulasan (berhubung kes) bagi mengelak subjudis," katanya. Mahkamah juga menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes Daim, tarikh yang sama untuk sebutan kes isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid. Na'imah didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama. - The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube