suria

Kecoh mat salih dari UK kena saman, polis didakwa beri 2 pilihan cara bayaran… Pergi balai atau ‘duit tepi’

Warga asing membayar saman kepada seorang lelaki dipercayai anggota polis trafik.

DIKEMASKINI

TULAR di media sosial video menunjukkan warga asing dikenakan tindakan saman oleh polis trafik.

Menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube itu, pasangan suami isteri dari United Kingdom (UK) dikatakan disaman kerana memandu melebihi had laju.

Menerusi video yang dikongsi semula di laman X sehingga tular, seorang lelaki yang dipercayai anggota polis trafik memaklumkan terdapat dua pilihan untuk mereka membayar saman.

“Saya keluarkan saman untuk kamu dan kamu boleh bayar di balai polis, atau bayar di sini.

“Pergi balai polis bayar RM300, bayar di sini RM100,” kata lelaki berpakaian seragam itu.

Pasangan berkenaan kemudian dibenarkan membuat pilihan untuk membayar saman berjumlah RM100 dengan menyerahkan wang tersebut kepada anggota polis itu.

Seorang anggota polis trafik didakwa menawarkan pilihan bayaran saman.

Bagaimanapun, klik rakaman tersebut tidak mendedahkan tarikh dan lokasi kejadian.

Namun, apa yang menjadi persoalan individu yang memuat naik video tersebut adalah pilihan yang ditawarkan anggota polis kepada pasangan warga asing itu.

“Tak tahu pula kita ada pilihan ini,” soalnya.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengesyaki ia merupakan perbuatan rasuah dan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tindakan yang sewajarnya.

“Kesalahan tetap kesalahan, saman je, tak ada hal mereka nak bayar. Tapi cara bayar duit tepi ni mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia jika video ni tersebar. PDRM patut beri hukuman sepatutnya kepada anggota yang terbabit.

“Aduh, memalukan betul. Masalah rasuah ni memang betul-betul sistemik. Apa ni PDRM?” demikian antara komen netizen.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesan video yang tular di media sosial.

Menurutnya, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika ditahan di lokasi kejadian.

"JSPT mengesan video tular di platform YouTube dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun ke atas pasangan dari United Kingdom (UK) yang sedang melakukan edisi jelajah Malaysia itu.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain