suria

Warga emas maut dirempuh 3 kenderaan, tersepit di kerusi pemandu

Keadaan kereta warga emas terbabit selepas kemalangan membabitkan empat kenderaan.

SEORANG lelaki warga emas maut akibat tersepit di tempat duduk selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Muar-Parit Yaani, dekat Yong Peng, Johor.

Kejadian berlaku ketika mangsa Shahri Abu, 69, dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran laluan tersebut kira-kira pukul 9 pagi.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Kemalangan juga menyebabkan sebahagian kereta jenis Perodua Viva yang dipandu warga emas itu terbakar.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa mahu membelok ke kanan untuk singgah di sebuah kedai makan berhampiran.

Beliau berkata, ketika mahu membelok, datang pacuan empat roda dari arah sama lalu merempuh belakang kereta dipandu mangsa.

"Rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa memasuki laluan bertentangan. Secara kebetulan, datang sebuah lori namun gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

"Kereta mangsa kemudian turut melanggar Perodua Bezza dari arah sama menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ismail berkata, pemandu pacuan empat roda, lori dan Perodua Bezza tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta kerjasama saksi kemalangan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Izzam Aziz di talian 07-4327704." katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain