OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands tamat selepas dua lagi mangsa ditemukan. Mangsa dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dan Om Myu, 37 ditemukan pada pukul 6.10 petang dan 6.50 petang dengan jarak antara kedua-duanya sejauh lima meter sekali gus mencukupkan jumlah lima mangsa yang tertimbus. Penamatan operasi diumumkan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli dalam sidang media pada Sabtu. Hadir sama adalah Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi. Azri berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui masing-masing di lokasi pencarian zon D dan zon C dengan jarak kira-kira 30 meter daripada lokasi penemuan mangsa sebelum ini. Katanya, mayat kesemua mangsa yang juga warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, untuk proses bedah siasat dan pengesahan identiti. Terdahulu, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas rumah dihuni mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2.40 pagi, Jumaat. Identiti dua mayat yang dijumpai dalam operasi SAR pada Jumaat, masing-masing dikenal pasti sebagai Law Ha Phey dan Ki Shing Om. Manakala, mangsa ketiga yang ditemukan kira-kira 12.15 tengah hari Sabtu merupakan lelaki, Thang Moung, 25. Azri berkata, identiti semua mangsa akan disahkan oleh Jabatan Forensik. Menurutnya, identiti mereka sudah dimakumkan ke kedutaan Myanmar di Malaysia untuk tindakan susulan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube