suria

[V] ‘Mini love’ Agong untuk rakyat... Al-Sultan Abdullah berangkat balik ke Pahang

SELEPAS lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada pagi Selasa dibuat bagi menjunjung kasih tanda penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas jasa dan pengorbanan Seri Paduka berdua.

Sekitar pukul 8.35 pagi, baginda berdua tiba di Dataran Parlimen bagi istiadat penuh simbolik.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof.

Sejurus selepas itu baginda berdua menerima Hormat Diraja yang diiringi lagu Negaraku dan serentak itu bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong diturunkan.

Turut kedengaran tembakan 21 das meriam sepanjang lagu Negaraku berkumandang.

Acara diteruskan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama disusuli sembah menghadap Perdana Menteri bersama barisan Kabinet sebagai tanda terima kasih.

Selain perwakilan asing, upacara di Dataran Parlimen turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Audit, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Kemudian baginda berdua berangkat meninggalkan Dataran Parlimen pada pukul 9.20 pagi untuk ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk pulang ke Pahang.

Untuk makluman, Al-Sultan Abdullah, 64, melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan 2019.

Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula Rabu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain