TRAGEDI pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam pada tanggal 17 Ogos tahun lalu masih lagi segar di ingatan rakyat Malaysia. Paling terkesan tentunya ahli keluarga terdekat 10 mangsa yang terkorban. Setelah hampir enam bulan berlalu, tragedi menyayat hati itu terus menghantui kehidupan Suzana Paiman, 39, isteri kepada Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd Zaki. Untuk rekod, Muhammad Taufiq merupakan pegawai khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas sama. Bercakap kepada mStar, Suzana yang juga ibu kepada empat cahaya mata mengakui tragedi berkenaan meninggalkan kesan mendalam terutama buat anak-anaknya yang masih kecil dan sedang bersekolah. Anak-anak dibawa menziarahi pusara bapa mereka. "Selepas hampir enam bulan, keadaan banyak berubah kerana ketiadaan arwah sebagai ketua keluarga. Sekarang saya uruskan sendiri. Sayalah emak, sayalah bapa. Tapi kami berlima tempuh sama-sama. "Agak susah nak terima sebab orang yang kita sayang pergi mengejut. Saya reda dah tak ada suami, cuma susah nak terima anak-anak saya dah tiada bapa. Itu yang paling berat dan sukar. "Saya kesian anak-anak masih kecil. Si bongsu selalu tunggu baba (panggilan arwah) di tingkap sejak kejadian itu. Saya terangkan baba 'jumpa' Allah. Dia masih berharap baba akan balik," ujarnya ketika dihubungi mStar. Dunia sekarang agak 'keras' tapi Alhamdulillah rezeki anak-anak masih ada. SUZANA PAIMAN Hasil perkongsian hidup, Suzana dan Allahyarham dikurniakan empat cahaya mata iaitu Raees Mikail, 11, Raushan Maqil, 8, Rizqi Mateen, 6, dan Ra'id Muqri, 4. Lebih pilu, Suhana berkata jika arwah suaminya masih ada di sisi, mereka sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-12 pada 3 Februari ini. "Rasa nak skip tarikh tu. Beberapa hari saja lagi. Sebelum ini kami selalu raikan bersama dengan anak-anak, selalu bertukar-tukar hadiah. Sekarang kalau rindu, saya akan bawa anak-anak ke kubur. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa nahas cuba tenangkan diri, sangka baik bukan pesawat dinaiki suami terhempas - “Anak sakit, dia 50-50 nak pergi” ARTIKEL BERKAITAN: Identiti rider terbakar dikenal pasti, rupanya orang Sidam di Kedah... Polis datang rumah ibu bawa khabar duka lepas Maghrib "Hujung minggu pula saya akan bawa anak-anak keluar. Saya buat perkara sama yang arwah selalu buat dulu supaya anak-anak tak terasa kehilangannya," ujarnya yang menetap di Bukit Indah, Ampang. Meneruskan hidup sebagai ibu tunggal, Suzana berkata aspek kewangan merupakan cabaran terbesar buatnya, apatah lagi dia bergelar suri rumah sejak melahirakn anak pertama. Suzana juga tidak menolak seandainya ada rezeki untuk kembali bergelar wanita bekerjaya, namun dia tidak mahu hal itu menganggu tugas hakikinya sebagai ibu kepada empat cahaya mata. Suzana akui berdepan cabaran namun terpaksa kuat demi membesarkan anak-anaknya. "Saya jadi suri rumah sejak melahirkan anak pertama. Keadaan sekarang agak susah sikit, dengan anak kecil, semua perlukan duit. Dunia sekarang agak keras tapi Alhamdulillah rezeki anak-anak masih ada. "Saya bersyukur masih ada makanan di atas meja kami. Tempat arwah suami bekerja masih bagi bantuan. Anak-anak sakit pun mereka bantu. Alhamdulillah mereka ambil berat. "Saya sedang berusaha cari kerja. Dulu sebelum kahwin saya kerja sebagai personal assistant (PA) dan setiausaha. Kalau boleh nak bidang sama. Tapi kena cari kerja yang sesuai dengan masa saya sebagai ibu," ujarnya lagi. Suzana sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan ke-12 dengan Allahyarham pada Februari ini. Akhir bicara, Suzana berkata besar harapannya agar siasatan nahas itu dapat dilengkapkan dalam masa terdekat, sekali gus merungkai punca sebenar tragedi berkenaan. Malah, dia juga mahu lembaran tahun 2024 ini membawa sinar buat keluarganya untuk terus kuat dan cekal dalam meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi. "Saya masih tunggu keputusan siasatan penuh. Ia dijangka dilengkapkan dalam masa 12 bulan. Tapi lagi cepat lagi bagus. Kami waris-waris masih menunggu. Tapi kami tak mendesak kerana tak mahu ganggu siasatan. Nahas pesawat pada 17 Ogos 2023 kekal terpahat di ingatan rakyat Malaysia. "Pihak terlibat pun kata mereka akan maklumkan keputusan kepada kami dahulu sebelum diumumkan kepada orang awam. Jadi kami sabar menunggu. Saya dengan waris-waris mangsa yang lain juga agak rapat. "Jadi harapan untuk 2024 ini semoga saya dan anak-anak terus gembira walaupun kami dah hilang orang tersayang. Arwah sentiasa di hati. Semoga kami dimurahkan rezeki. Saya percaya ada pelangi selepas hujan. Ada hikmah Allah pilih kami untuk diuji," ujarnya mengakhiri bicara. Untuk rekod, nahas itu mengorbankan 10 orang mangsa yang terdiri daripada lapan penumpang pesawat (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan), serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing) dikenali sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube