suria

Padah minta suapan RM100 daripada warga UK, tiga anggota trafik direman

Tangkap layar seorang anggota trafik meminta suapan daripada warga asing.

TIGA anggota trafik yang meminta suapan daripada pasangan pelancong warga United Kingdom yang melancong dalam edisi jelajah Malaysia baru-baru ini, ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak.

Perbuatan tidak bermoral itu dilakukan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland di Perak.

Anggota terbabit dikatakan meminta bayaran RM100 untuk 'selesaikan' saman serta merta berbanding membuat bayaran di balai polis yang berjumlah RM300.

Kesemua mereka yang ditahan reman selama tiga hari berusia 37 tahun hingga 42 tahun bermula Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kes ini telah diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan lengkap sepenuhnya.

"Siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga akan turut dijalankan.

"Pihak polis menyeru agar mangsa yang terlibat dalam kes ini tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis agar siasatan dapat dilengkapkan dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut sehingga menjejaskan siasatan polis.

"Polis Perak memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warganya serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku," tambahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain