suria

Pemilik butik perkahwinan dihukum penjara, sebat gara-gara tipu pengantin... Silap langkah perdaya mangsa serah RM9,000

Pemilik butik pengantin berdepan hukuman penjara dan sebat. -Gambar hiasan

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara setahun dan sekali sebatan terhadap pemilik butik pengantin di Raub, Pahang.

Tertuduh disabitkan dengan kesalahan menipu pelanggan (pengantin) dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000, tahun lalu.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, menjatuhkan hukuman itu selepas Hasmerun Hashim, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh sabitan, iaitu pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, Hasmerun didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan memperdayanya untuk menyerahkan kepada tertuduh wang menerusi dua kali transaksi berjumlah RM9,000.

Transaksi wang yang dilakukan ke akaun CIMB adalah atas nama Arjuna Cinta Wedding.

Kesalahan didakwa dilakukan di residensi di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, pada 23 dan 25 Ogos tahun lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Hasmerun yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ada tanggungan ibu bapa uzur, adik dan anak saudara.

"Saya juga mohon hukuman sebat digugurkan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

"Tiada sebarang keadaan istimewa untuk gugur hukuman sebat," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain