suria

Budak lelaki takut nak pergi masjid, trauma dicabul penganggur OKU dalam tandas

Lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan serta satu sebatan.

SEORANG penganggur berusia 24 tahun menerima padah apabila dia dipenjara selepas mengaku bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki.

Lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) itu, Muhamad Aidil Mohamad Zailani mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Mengikut pertuduhan, perbuatan cabul itu berlaku di dalam tandas sebuah masjid di Simpang Renggam, Kluang pada 26 Januari lalu.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas kanak-kanak tersebut menceritakan apa yang berlaku kepada ibu saudaranya.

Mangsa berkata dia tidak mahu ke masjid kerana 'seorang lelaki gemuk, berkulit gelap' melakukan perbuatan itu ke atasnya.

Ibu saudara mangsa kemudiannya memaklumkan hal itu kepada ibu kandungnya sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Simpang Renggam.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru mengaku tidak bersalah cabul murid 11 tahun di bilik darjah

Sejurus laporan dibuat, polis memberkas tertuduh pada hari berikutnya.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, namun tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan serta satu sebatan terhadap lelaki itu.

Dia juga diarahkan menjalani kaunseling selaras dengan Seksyen 26 akta sama.

Mahkamah turut menggunapakai Seksyen 27 akta sama iaitu memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selamat setahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain