"BILA lagilah Uya (Aszura) nak makan mi kari kakak ni?" Begitulah permintaan mangsa lemas tragedi kepala air di Sungai Kenjur, di Kampung Poh, Bidor, Aszura Bani, 37. Noraini Maswan, 44, sebak mengingati kata-kata wanita itu sewaktu mangsa singgah makan di kedai makan tempat Noraini bekerja. Noraini berkata, Aszura kali terakhir datang makan mi kari kuah kicap di kedainya pada Isnin lalu, bersama anaknya lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, yang turut terbabit dalam kejadian petang Rabu. "Saya tak sangka kata-kata itu menjadi petanda Aszura akan pergi selama-lamanya, dia dan Hafiy memang selalu makan di kedai tempat saya bekerja sejak setahun lalu. "Seminggu sekali dia akan singgah makan dan makanan kegemarannya mi kicap kuah kari," katanya kepada pemberita dekat lokasi kejadian, pada Rabu malam. ARTIKEL BERKAITAN: Kepala air: Sayu lelaki pengsan beberapa kali... Isteri, 3 anak hilang sekelip mata ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air... Mayat kanak-kanak ditemukan, 2 masih hilang Terdahulu, aktiviti sekeluarga untuk berkelah bertukar tragedi apabila empat daripada tujuh mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras kepala air sementara tiga lagi terselamat. Dalam kejadian pada Rabu, Aszura yang berkelah bersama tiga anaknya, kakaknya Aslinda Bani, 38, anak Aslinda dan seorang pembantu rumah, terperangkap dalam kepala air kira-kira pukul 4.03 petang. Aszura kemudian ditemui lemas, kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 4.30 petang Rabu. Ia disusuli penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai anaknya, pada 9.50 malam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube