suria

Percutian bertukar mimpi ngeri, wanita dakwa jumpa kamera tersembunyi dalam tandas homestay

Kamera yang didakwa ditemui oleh wanita berkenaan dalam tandas di homestay yang diinapnya. -Gambar media sosial

PERCUTIAN seorang wanita bersama tiga rakannya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia menemui kamera tersembunyi dalam tandas di sebuah inap desa, di Jelutong, Pulau Pinang.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu mendaftar masuk ke inap desa terbabit bersama tiga rakannya pada 5 Februari lalu untuk bercuti.

"Pengadu terjumpa sebuah kamera tersembunyi dalam bekas pewangi tandas di bilik air kira-kira jam 8 malam pada 6 Februari dan terus mengeluarkan kamera itu.

"Pengadu kemudiannya membuat aduan kepada pihak pengurusan inap desa seterusnya membuat laporan di Balai Polis Jelutong," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan kamera tersembunyi dalam fitting room

ACP Razlam berkata, bertindak atas laporan tersebut, polis sedang menyiasat kes berkenaan dari semua aspek mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada imej atau video terkandung dalam storan kamera terbabit.

Sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.

Insiden berkenaan menjadi viral sejak kelmarin selepas ia dikongsi oleh wanita berkenaan dalam hantaran di platform X, mendakwa dirinya menjadi mangsa apabila sebuah kamera intip disembunyikan dalam bekas pewangi tandas ketika sedang mandi di sebuah inap desa di Pulau Pinang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain