suria

‘Hot Daddy’ sepatutnya dihina, bukan dilayan macam artis... Bapa bawa anak, wanita bertudung teruja bergambar

Beberapa orang awam mengambil peluang bergambar dengan 'Hot Daddy'.

SEORANG pemuda dilihat dikeremuni orang awam tak ubah seperti selebriti tapi hakikatnya bukan!

Menerusi beberapa video yang dimuat di laman sosial sehingga tular, beberapa orang ramai dilihat mengambil peluang untuk bergambar bersama pemuda berkenaan.

Selain bergambar, mereka yang dipercayai berada di sebuah pasar malam turut berjabat tangan dan berbual mesra dengan lelaki itu.

Rupa-rupanya pemuda yang menjadi tumpuan ramai itu merupakan individu yang didakwa atas tuduhan mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X, baru-baru ini.

Salah seorang orang awam bersalam dengan 'Hot Daddy'.

Apa yang lebih mengejutkan, ada dalam kalangan orang ramai yang bergambar dengan pemuda dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ itu sudah pun berkeluarga.

Menerusi salah satu rakaman berdurasi satu minit dan 16 saat, seorang lelaki dilihat mendukung anaknya yang masih kecil, manakala seorang lagi diletakkan dalam kereta sorong bayi.

Turut kelihatan beberapa wanita bertudung, dan dalam pertemuan mesra itu salah seorangnya mengambil gambar mereka yang lain.

Perkongsian video itu bagaimanapun tidak menyatakan lokasi dan tarikh kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam promosi maksiat, normalisasi persundalan... Mufti gesa tindakan tegas kepada penganjur podcast

Video yang tular di pelbagai platform media sosial itu ternyata mengejutkan orang ramai.

Ia memperlihatkan betapa rendahnya moral mereka yang secara tak langsung mengangkat individu yang dikaitkan dengan aktiviti maksiat dan pelacuran.

Pemuda itu sepatutnya dihina kerana perbuatan terkutuknya dan bukan dilayan seperti artis.

“Mereka ingat artis ke? Aduh.

“Yang pakai tudung pun beria ambil gambar. Tak apa, manusia boleh berubah.

“Tiada yang istimewa tentang dia. Tapi macam diagung-agungkan. Risau akhir zaman sangat kita ni. Masing-masing jagalah anak bini, teguhkan iman,” komen netizen.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyelar tindakan sebuah laman web penstriman yang menjemput 'Hot Daddy' sebagai tetamu podcast.

Ramai menunggu giliran untuk bergambar dengan 'Hot Daddy'.

Wan Salim berkata, pihaknya bimbang tindakan laman web penstriman tersebut akan mempengaruhi golongan remaja seterusnya membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.

“Adalah amat dikesali tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjemput tertuduh dalam kes mengiklan persundalan menerusi aplikasi X bagi menyertai podcast sebagai tetamu.

“Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai satu cara mempromosi maksiat dan menormalisasi persundalan.

“Sekiranya keadaan itu tidak dikekang atau dicegah akan mempengaruhi golongan remaja sekali gus membawa kepada jurang keruntuhan akhlak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, ‘Hot Daddy’ menerusi video TikTok menafikan terlibat dalam melakukan sebarang podcast seperti yang didakwa.

Sehubungan itu, dia meminta orang ramai jangan membuat andaian atau fitnah terhadap sesuatu perkara yang tidak sahih.

Untuk rekod, pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Bagaimanapun, lelaki tiga anak itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari untuk serahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain