PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas dekat Kapar, Selangor pada petang Selasa. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi. Namun sehingga kini, pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti keadaan dua mangsa yang berada dalam pesawat berkenaan. "Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 1.35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima. Tangkap layar video tular memaparkan serpihan pesawat itu melayang-layang di udara. "Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat. "Terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut, namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini," ujarnya dalam satu kenyataan. ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat dilihat bersepai di udara! Bomba giat cari mangsa Terdahulu, mStar melaporkan tentang sebuah video tular, memaparkan serpihan sebuah pesawat yang bersepai di udara. Menerusi video yang dikongsi orang awam, serpihan pesawat itu dilihat melayang-layang di udara sebelum jatuh di kawasan berkenaan. Pesawat itu dipercayai meletup terlebih dahulu sebelum ia terhempas kira-kira pukul 1.56 tengah hari tadi. Sebahagian komponen pesawat itu dilihat jatuh bertebaran di kawasan ladang sawit serta kediaman penduduk. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube