suria

“Terhempas, kemudian senyap” - Saksi tragedi di Kapar

Sebuah pesawat terhempas dekat Kapar pada Selasa.

SEORANG saksi mendakwa terdengar bunyi kuat sebelum menyedari sebuah pesawat terhempas berhampiran rumahnya.

Menurut Jinaidi Nasiran, 55, dia mendengar bunyi kuat itu ketika sedang membaiki kereta sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya mendengar bunyi enjin semakin dekat. Apabila saya pusing, ia (pesawat) terhempas ke tanah.

“Kemudian, senyap...” katanya kepada pemberita ketika ditemui berhampiran lokasi nahas.

Jinaidi berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian dia melihat beberapa penduduk kampung sudah berada di situ.

Tambah Jinaidi, dia menyedari separuh badan pesawat itu berada di dalam tanah.

Pesawat itu dilihat terbakar sebelum terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlepas dari Subang, komunikasi terakhir pukul 1.35 petang... Nasib 2 individu dalam pesawat terhempas belum diketahui

Jalan ke lokasi nahas sejak itu ditutup oleh pihak berkuasa.

Polis juga dilihat memasang khemah di perkarangan rumah berdekatan.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas dekat Kapar pada petang Selasa.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Namun sehingga kini, pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti keadaan dua mangsa yang berada dalam pesawat berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain