suria

Budak lelaki maut dihempap batu bata, dinding di dapur sedang dibina bapa runtuh

Seorang kanak-kanak maut selepas batu bata di dapur rumahnya runtuh.

MALANG tidak berbau!

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dipercayai ditimpa dinding batu bata yang sedang dalam pembinaan di bahagian dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Baling, Kedah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar bunyi dentuman kuat.

Katanya, ibu kanak-kanak itu kemudian menghubungi suaminya memaklumkan anak mereka ditimpa dinding bata dan tidak sedarkan diri.

"Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun sedang bekerja di sebuah kilang manakala ibu kanak-kanak itu memasak di dapur," katanya.

Difahamkan, sebelum kejadian, ibu kanak-kanak itu sudah beberapa kali melarang mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun supaya tidak bermain di kawasan yang dibina oleh bapa mereka.

Malah mereka berdua juga telah disuruh masuk ke dalam rumah namun tidak diendahkan dua beradik itu yang terus bermain di situ.

Menurut Shamsudin, tidak lama kemudian ibunya terdengar dentuman kuat lantas bergegas menghampiri dua anaknya.

Bagaimanapun, ketika itu, seluruh badan mangsa sudah ditimpa dinding bata.

"Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan namun hanya mengalami cedera ringan," katanya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar di Baling.

Shamsudin berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Menurut Shamsudin, polis sudah merakam percakapan ibu dan bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 berikutan insiden yang berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain