suria

Polis jadi ‘bidan’, bantu sambut kelahiran bayi di tepi jalan

Anggota polis membantu warga asing melahirkan bayi di tepi jalan.

TINDAKAN pantas anggota dan pegawai polis membantu seorang wanita melahirkan bayi di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) pada Isnin tular di media sosial.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan pasangan warga asing dari Thailand berkenaan berhenti di tepi jalan sebelum melihat kenderaan peronda polis (MPV) dan menahannya bagi meminta bantuan.

Pegawai dan anggota dari Unit Kereta Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Utara berkenaan terpaksa menjadi 'bidan terjun' dengan membantu menyambut kelahiran bayi sebelum ketibaan pasukan perubatan.

"Keprihatinan dan atas rasa tanggungjawab, Inspektor Mat Fauzi bersama Koperal Shahril dan Koperal Hariz Zulfadli dari EMPV Zon Utara (1) JSPT Bukit Aman semasa tugas rondaan OP Selamat 21, memberi bantuan kepada pasangan keluarga dalam kecemasan melahirkan anak.

"Pada awalnya, si suami telah menahan kenderaan dinaiki Inspektor Fauzi bagi tujuan meminta pertolongan untuk bantuan eskot ke hospital berhampiran, tetapi tidak kesampaian kerana si isteri bersalin di dalam kenderaan," menurut kenyataan yang dikongsi.

Bagaimanapun, bayi tersebut berjaya dilahirkan dengan selamat dengan bantuan anggota polis yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan itu.

"Ambulans dinaiki pegawai perubatan kemudian membantu ibu dan bayi perempuan dan kedua-dua mereka dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah untuk rawatan lanjut.

"Tahniah diucapkan kepada Inspektor Mat Fauzi dan anggota yang terlibat, atas pertolongan menjaga lalu lintas dan bantuan kepada pasangan keluarga ini.

"Semoga perbuatan tuan sekalian akan menjadi teladan kepada rakan pasukan yang lain," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain