suria

Nenek 67 tahun tak mengaku tampar muka bayi 11 bulan di taska

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan bayi berusia 11 bulan.

SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan mencederakan bayi berusia 11 bulan.

Pengasuh pusat asuhan kanak-kanak, Norsham Ismail, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh didakwa menampar muka muka bayi perempuan itu antara pukul 7.47 hingga pukul 7.59 pagi di sebuah taska di Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan pada 5 Februari.

Ia membawa kepada pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 untuk wanita itu, manakala tarikh 13 Mac ditetapkan bagi sebutan semula kes sementara menanti keputusan penuh laporan perubatan.

Untuk rekod, pada 7 Februari lalu media melaporkan kisah pengasuh itu yang ditahan polis selepas disyaki mendera seorang bayi perempuan dalam jagaannya pada 5 Februari.

Penahanan itu dibuat susulan laporan polis pada 6 Februari oleh seorang wanita berusia 20-an.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain