suria

Gara-gara MC palsu, lima individu termasuk pasangan suami isteri dipenjara sehari

Menggunakan sijil cuti sakit palsu adalah satu kesalahan. -Gambar hiasan

AKIBAT menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu dari Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira empat tahun lalu, lima individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, pada Rabu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan suami isteri, T.D Vasudevan, 28, dan D. Carolina, 28, bersama-sama G. Mukuntan, 28; M Harrvinthan, 27 dan R Gobinath, 43 menggunakan MC palsu di beberapa lokasi sekitar George Town dan Bayan Lepas antara Januari sehingga Oktober 2020.

Kesemua tertuduh didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang diketahui adalah satu dokumen palsu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan masing-masing memohon mahkamah memberikan hukuman minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara keluarga dan ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan denda RM1,500 dan satu hari penjara bagi setiap tertuduh selain memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh telahpun membayar denda yang dikenakan mereka itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain