suria

Anak maut kena renjatan elektrik di asrama universiti, bapa tuntut ganti rugi RM3 juta

Pelajar berkenaan meninggal dunia kerana renjatan elektrik. -Gambar hiasan

SEORANG bapa memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada sebuah universiti selepas anak bongsunya meninggal dunia akibat renjatan elektrik di bilik asrama institusi berkenaan di Kedah, dua tahun lalu.

Lelaki berusia 55 tahun itu selaku plaintif membuat tuntutan menerusi writ saman yang difailkan firma guaman, Tetuan M Manoharan & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 28 Februari lalu.

Tuntutan tersebut menamakan universiti berkenaan sebagai defendan susulan kematian pelajar perempuan berusia 21 tahun itu.

Mengikut penyataan tuntutan difailkan bersama writ tersebut, bapa mangsa berkata, anaknya ditemukan terbaring tidak bernyawa di lantai bilik asrama pada 21 Mei 2022.

Katanya, siasatan dibuat polis dan bedah siasat dijalankan pegawai perubatan ke atas mayat pelajar itu untuk menentukan punca kematian, yang akhirnya pemeriksaan bedah siasat menyimpulkan bahawa punca kematian adalah renjatan elektrik.

ARTIKEL BERKAITAN: Kena hempas hingga kaki patah, murid saman guru Kafa RM410,000

"Selanjutnya, Mahkamah Sesyen Alor Setar bertindak di bawah Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah memastikan bahawa renjatan elektrik adalah punca kematian perempuan berkenaan.

"Perkara ini disahkan dalam surat bertarikh 1 Februari 2023 daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar kepada plaintif," katanya.

Mengikut penyataan tuntutan itu lagi, plaintif menyatakan bahawa defendan sebagai pemilik asrama itu mempunyai kewajipan berkanun kepada semua penghuninya yang sah di bawah peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 untuk menyenggara elektrik.

"Melanggar kewajipan berjaga-jaga dan berkanunnya, defendan gagal memastikan pelajar selamat daripada terkena renjatan elektrik dan gagal menyelenggara pemasangan elektrik secara betul hingga menyebabkan anaknya terkena renjatan yang mengakibatkan kematiannya," katanya.

Defendan juga didakwa gagal mengambil mana-mana langkah penjagaan munasabah untuk mengelakkan kecederaan, kerosakan atau kematian daripada renjatan elektrik.

"Menyebabkan atau membenarkan peralatan elektrik khususnya lampu dinding atau peralatan lain yang rosak dalam bilik berkenaan menjadi dan kekal dalam keadaan rosak serta berbahaya.

"Kegagalan untuk menggantikan atau membaiki lampu dinding elektrik atau peralatan lain yang rosak, selain mengambil langkah yang munasabah untuk menjadikan perkakas itu selamat digunakan.

"Gagal mengambil langkah mencukupi sama ada melalui pemeriksaan berkala untuk memastikan pemasangan elektrik berada dalam keadaan yang secara munasabah adalah selamat, tidak rosak atau berbahaya," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain