suria

Tahniah kaki pancing! Tindakan pantas bantu kru Helikopter AW139 dipuji APMM

Penyelamatan awal dilakukan bot pemancing

TINDAKAN pantas bot pemancing berjaya menyelamatkan juruterbang bersama kru selepas helikopter AW 139 terhempas di Perairan Pulau Angsa, Selangor.

Ketua Pengarah Penguatkuasan Maritim, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pesawat bernombor pendaftaran M72-01 ketika itu sedang menjalani latihan menyelamat sebelum melakukan pendaratan kecemasan pada pukul 9.55 pagi Selasa.

Ujar beliau, maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter AW139 milik APMM terhempas... Juruterbang, kru dilaporkan selamat

"Bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru terbabit.

"10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 10.15 pagi," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau kesemua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Mangsa yang terlibat merupakan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria; Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Dalam pada itu, Hamid berkata, Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

"Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini. Operasi ditamatkan oleh CAAM pada pukul 11.15 pagi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain