JABATAN Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyediakan khidmat kaunseling terhadap tiga pelajar lelaki yang disyaki mangsa kes liwat membabitkan pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik di Mersing. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, mangsa akan diberikan sesi kaunseling. "Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan menguruskan perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra di Kulai, pada Khamis. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan kes tersebut masih dalam siasatan polis. Pada Rabu, seramai enam mangsa lelaki termasuk dua beradik, tampil mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh seorang pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik Polis berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan pada Selasa lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis selepas tamat tempoh reman. Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima lima laporan membabitkan enam mangsa berusia antara 15 dan 21 tahun. Suspek disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Abdul Razak menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. Tambahnya lagi, sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku boleh menghubungi di talian hotline 07-799 6224. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube