USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad meneruskan tradisinya dengan menyediakan sebanyak 10 buah bas persiaran bagi kegunaan orang ramai secara percuma untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri nanti. Menurut Hafiz, ia merupakan kali keempat dia melakukannya kerana memahami terdapat golongan yang kurang berkemampuan daripada segi kewangan di musim perayaan. "Saya faham ada ramai sahabat yang kewangan dia tak mengizinkan. Izinkan saya cuba bantu apa yang boleh. "Tahun lepas 10 bas kita taja dan Insya-Allah untuk tahun ni kita taja 10 bas juga untuk awak balik raya. "Saya dah bayar 10 bas untuk awak balik raya kampung tahun ni," katanya menerusi hantaran di laman sosial, petang Rabu. Hafiz meninjau keadaan bas yang akan digunakan untuk orang ramai secara percuma. Menurut Hafiz, dia berharap ia dapat membantu orang ramai yang memerlukan untuk pulang berhari raya di kampung. "Biarlah tak mampu beli baju raya, asalkan dapat beraya dengan mak ayah di kampung. Nanti cakap dekat mak, 'Mak, raya ni adik balik!'. Sampaikan salam saya pada mereka tau. "Jangan batal saat akhir dan book main-main. Kasihan saya nanti. Baik kita beri peluang pada mereka yang memerlukan," katanya lagi. Setakat ini, sebanyak 10 bas ditaja untuk perjalanan dari Seksyen 13, Shah Alam di Selangor ke beberapa destinasi di utara, selatan dan pantai timur pada 7 April depan. Di ruangan komen, rata-rata netizen terharu dengan sumbangan Hafiz sempena Ramadan di bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. "Allahuakbar betapa besarnya harapan sahabat untuk memudahkan urusan orang untuk berkumpul di hari raya nanti. Semoga bertambah rezeki sahabat. "Alhamdulillah, rezeki untuk mereka yang tiada kemampuan. Semoga Hafiz diberi keberkatan," komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube