MAHKAMAH Majistret Georgetown mengarahkan seorang wanita berusia 65 tahun dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemerhatian psikiatri selama selama sebulan. Arahan tersebut dikeluarkan selepas Sofiah Abdul Majid enggan membuat pengakuan apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Georgetown pada Rabu. Tertuduh berkata dia tidak bersetuju dengan pertuduhan itu apabila ditanya oleh jurubahasa mahkamah sama ada dia memahami apa yang dituduh. Tiada pengakuan direkodkan kerana dia enggan menjawab sama ada dia memahami pertuduhan terhadapnya. "Bagaimana saya nak mengaku (pertuduhan dibaca) betul? Semua itu salah. Itu adalah perkataan orang lain. "Semua yang dibaca itu tipu, saya tidak setuju dengan penipuan," katanya. Susulan reaksi yang ditunjukkan tertuduh, Nadratun, jurubahasa mahkamah dan polis terpaksa menahan Sofiah beberapa kali daripada mengganggu prosiding apabila dia cuba bercakap selepas diarah dihantar untuk pemerhatian psikiatri. "Berdasarkan pemerhatian mahkamah, tertuduh kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. "Tertuduh diminta datang semula ke mahkamah bersama keputusan tersebut pada 19 April 2024, pukul 9 pagi," kata Nadratun. Terdahulu, Sofiah turut mencetuskan kekecohan apabila dia cuba menendang jurugambar yang mengambil gambarnya ketika dibawa ke mahkamah. Mengikut kertas pertuduhan, Sofiah telah mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap imam dan bilal di Masjid Jamek Ar-Rahman kira-kira jam 10 malam pada 12 Mac. Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana membuat pernyataan zahir di masjid berkenaan dengan menyatakan bahawa imam dan bilal di masjid tersebut membaca al-Quran seperti anjing menyalak dan dirasuk hantu. Jika didapati bersalah, dia berdepan hukuman penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya sekali. Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail memberitahu mahkamah bahawa tertuduh dirujuk untuk pemerhatian psikiatri dan dijangka membuat lawatan kedua. Katanya, pada peringkat ini mahkamah boleh merujuk tertuduh untuk pemerhatian lanjut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah jika bersesuaian. Mohd Nordin juga berkata tiada penemuan diperoleh daripada lawatan pertama. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube