TINDAKAN licik penjenayah menyembunyikan hasil rompakan dengan menanamnya di dasar sungai tidak berhasil apabila barangan tesebut ditemukan pasukan polis. Sebahagian barang kemas dan peti besi dianggarkan bernilai RM2.1 juta milik usahawan wanita terkenal berjaya ditemukan di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor susulan penahanam empat individu pada 5 Mac lalu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kes itu diselesaikan selepas empat suspek warga tempatan yang berusia 22 hingga 36 tahun diserahkan kepada bahagian sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. Kesemua suspek direman sembilan hari sejak 16 Mac lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah usahawan terkenal dirompak, kerugian dianggarkan RM3.5 juta “Hasil soal siasat mendapati suspek yang ditahan tidak mepunyai hubungan kekeluargaan dengan usahawan wanita terbabit. “Pada 19 Mac lalu, suspek membawa polis dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi barang kemas tersebut dibuang di Sungai Sembrong. “Pemeriksaan di lokasi itu menemukan semula peti besi milik mangsa di dasar sungai. Di dalam peti besi itu terdapat empat jongkong emas bernilai RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di IPD Wangsa Maju. Jelas Allaudeen, selain jongkong emas, pihaknya menemukan 15 utas rantai emas, gelang emas (14), cincin emas (2), beg berjenama (7), loket emas (1) dan subang emas (1) di sebuah kediaman di Batu Pahat. Anggaran nilai keseluruhan barang kemas yang dirampas adalah RM2.1 Juta. “Suspek mempunyai 20 rekod jenayah dan dadah. Mereka terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah di Selangor dan Kelantan. “Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyasarkan ahli perniagaan atau pempengaruh media sosial,”ujarnya. Tegas Allaudeen, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat uuntuk tindakan selanjutnya. Pada 4 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung satu kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul. Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang RM3 Juta dilarikan bersama beberapa buah beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarga. Anggaran kerugian yang dilaporkan wanita itu berjumlah RM3.5 Juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube