suria

Ibu nampak kesan merah di leher anak selepas balik study dengan cikgu - Polis

Tangkap layar hantaran tular di X.

TERDAPAT kesan kemerahan pada leher seorang remaja lelaki yang didakwa menjalinkan hubungan dengan gurunya.

Perkara itu didedahkan oleh ibu kepada pelajar tersebut dalam kejadian dikatakan berlaku selepas anaknya balik dari ulang kaji pelajaran bersama guru Matematik.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ini selepas menerima laporan daripada seorang wanita berusia 46 tahun pada pukul 10.30 malam, 12 Disember lalu.

"Wanita itu mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anaknya selepas mangsa balik dari ulang kaji pelajaran bersama guru Matematik.

"Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang mendapati kejadian berlaku pada pukul 4.50 petang, 12 Disember lalu. Mangsa yang sepatutnya balik ke rumah masih bersama guru Matematiknya di perpustakaan.

"Pelajar itu mendakwa telah dipeluk dan dicium oleh guru Matematik berusia 37 tahun itu hingga meninggalkan kesan kemerahan pada lehernya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktiviti guru wanita anak lima main cinta dengan pelajar sendiri terbongkar! Video berdua-duaan di pantai tersebar

Jelas Kamarul, mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan yang terdapat pada lehernya.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul mengesahkan hantaran tular di media sosial berhubung salah laku seksual oleh seorang guru wanita ke atas pelajar lelaki adalah benar.

"Orang awam dinasihatkan tidak menimbulkan spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian itu," katanya.

Terdahulu, pendedahan mengenai perlakuan tidak bermoral seorang guru wanita dibuat oleh individu dipercayai kakak mangsa menjadi tular di X sebelum dipadam.

Dalam pendedahannya, individu tersebut berkata guru wanita itu yang merupakan ibu lima anak tanpa segan silu meluahkan perasaan cinta kepada adik lelakinya.

Selain tangkap layar perbualan mesra di aplikasi WhatsApp, dia turut memuat naik video memaparkan kedua-duanya sedang berdua-duaan di pantai

Malah dakwanya, pihak keluarganya sudah membuat laporan polis dan aduan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah namun kedua-duanya didapati masih berhubung.

Katanya lagi, dia mengambil langkah menularkan perkara berkenaan di laman sosial agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak yang berkaitan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain