suria

Makcik tak tahu sabar di masjid, selamba tarik kerusi solat... Siap bisik di telinga jemaah - “Kalau adik guna, adik angguk ya”

Penggunaan kerusi solat memudahkan orang ramai yang memerlukan. -Gambar hiasan

BARU sahaja reda kisah seorang jemaah masjid yang jatuh terlentang ketika solat gara-gara kerusinya dialihkan budak lelaki, timbul pula isu hampir sama membabitkan seorang jemaah wanita.

Berkongsi pengalaman, seorang jemaah berkata, dia bersama keluarganya hadir untuk menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.

Namun katanya, kerusi solat itu bukan dialihkan oleh kanak-kanak seperti insiden sama yang tular sebelum ini.

"Kali ni terbalik, bukan budak-budak, tapi orang tua pula. Isteri saya dengan keadaannya, memerlukan kerusi untuk solat.

"Ketika masa berdiri dia boleh berdiri, tapi ketika sujud dan duduk perlukan kerusi," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook Majdi Nadwan.

Jemaah wanita khusyuk menunaikan solat berjemaah. -Gambar hiasan The Star

Mengulas lanjut lelaki itu berkata kejadian berlaku ketika semua jemaah di masjid sedang solat pada rakaat pertama sebelum isterinya didatangi seorang wanita.

"Elok tengah berdiri solat di rakaat pertama, tiba-tiba datang seorang makcik ni berbisik di telinga, 'Adik, adik guna ke kerusi ni, makcik nak guna kerusi ni boleh? Makcik tak larat, nanti makcik sakit'.

"Bisik waktu solat weh! Kemudian makcik tu dah nak ambil kerusi, tapi mungkin makcik tu rasa bersalah, tiba tiba dia tanya balik, 'Kalau adik guna, adik angguk ya'," ujarnya yang mengimbas kembali situasi yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik baju biru alami demam, muntah-muntah lepas jatuh terlentang... Tak ambil hati kanak-kanak alih kerusi waktu solat

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah ‘samseng’ tolak budak sampai telentang dalam masjid, marah sebab tak khusyuk... Netizen bengang, nak cari sampai jumpa!

Keadaan sedang solat itu sekali gus menyukarkan isterinya untuk memberikan sebarang respons, dikhuatiri akan membatalkan solat.

"Isteri saya yang tengah solat tu tak tahu nak respons macam mana. Boleh ke nak angguk ni? Batal solat ke macam mana. Adoi.

"Jadi isteri saya tak angguk, teruskanlah solat dan cuba fokus. Dan makcik tu pun ambil kerusi tu," ujarnya.

Situasi yang berlaku tersebut membuatkan si suami menitipkan nasihat dan teguran kepada makcik itu.

"Makcik, yang pertama kalau makcik nak ambil kerusi tu pun, tunggulah habis solat dulu. Solat tarawih dua rakaat je.

"Lagipun dah kerusi tu memang betul-betul belakang punggung orang tu, maksudnya memang dia guna la.

"Yang kedua, solat tarawih ni sunat je, tak wajib nak kejar-kejar tak menyempat. Tapi kalau solat wajib pun masih tak boleh buat macam tu," katanya lagi.

Sebelum ini tular mengenai seorang jemaah warga emas jatuh terlentang apabila kerusi miliknya dialihkan seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku pada isterinya gara-gara kerusi diambil oleh jemaah wanita berkenaan.

"Nasib baik makcik bisik dulu ye dok. Kalau tak, kan dah terduduk isteri saya kat situ," katanya lagi.

Di ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan tindakan makcik berkenaan kerana mengambil kerusi yang digunakan jemaah wanita itu.

"Tak tahu la mana lagi tak logik, dia masih ambil kerusi tu atau dia pergi tanya waktu orang tengah solat tu.

"Dah tua pun tak ada common sense. Ya, common sense perlu dididik. Tidak semua lapisan masyarakat ada sifat common sense ini," komen netizen.

Terdahulu, tular kisah mengenai lelaki warga emas yang menahan sakit jatuh terlentang apabila kerusinya dialihkan ketika sedang solat.

Akibat kejadian itu, jemaah berkenaan mengalami kecederaan dengan bahu yang bengkak, tangannya tidak boleh diangkat dan demam serta muntah-muntah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain